SALAM

KATA HIKMAH

KATA HIKMAH

MENU

Tuesday 18 June 2013

: : LRT : :


Light rail transit (LRT) atau transit aliran ringan adalah satu bentuk pengangkutan awam yang menggunakan trek keluli tetap (steel-tracked fixed) di sepanjang hak jalan eksklusif (right of way) dan beroperasi dengan satu unit gerabak atau beberapa unit yang ditambah atau disambung bersama-sama.  Bahan-bahan yang digunakan untuk membina trek LRT ini biasanya sama bagi membina trek  MRT dan sistem keretapi pengangkutan konvensional.






LRT yang bertindak sebagai salah satu strategi kepada perlaksanaan sistem transit pesat di kawasan bandar mampu memberi kesan kepada pengurusan guna tanah, pertumbuhan dan pemulihan bandar  (Cervero&Sullivan 2011; Handy 2005).

Selain itu, LRT boleh menggalakkan pembangunan di kawasan pinggir bandar, mengubah corak pembangunan bandar dan meningkatkan nilai hartanah berdekatan. Di samping itu, ia juga dapat membantu mengukuhkan pembangunan di kawasan-kawasan perumahan yang sedia ada dan menarik kelompok pembangunan baru di sekitar tapak stesen.

Namun, kesan perkembangan positif sistem LRT adalah terhad kepada kawasan-kawasan yang berkembang pesat dan mempunyai permintaan asas yang sihat untuk kepadatan yang tinggi dan pembangunan bercampur; di mana apabila lokasi stesen berada dalam persekitaran yang kondusif ini ia boleh memberikan kesan positif kepada kualiti kehidupan (Handy 2005).

LRT juga mempunyai peranan utama dalam mengurangkan kos pencemaran udara yang disebabkan oleh sumber pengangkutan. Keupayaan untuk mengangkut sebilangan besar penumpang, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kemudahan menjadikan ia sebagai satu alat yang efektif bagi mengurangkan pencemaran. Walau bagaimanapun, manfaat LRT lebih ketara apabila ia dibangunkan sebagai salah satu komponen penting dalam TOD, dasar pembangunan tanah bercampur dan reka bentuk bandar yang mesra NMT (Topalovic et al. 2012).

Selanjutnya, apabila dianggap sebagai pembolehubah bebas, LRT tempatan mampu mengurangkan jumlah penggunaan kenderaan persendirian sehingga 2-12%. Walau bagaimanapun, LRT sebagai komponen penting dalam perancangan pengangkutan, boleh mengurangkan perjalanan ulang-alik, merancakkan dasar pertumbuhan pintar dan boleh mengurangkan keperluan untuk tempat letak kereta, serta mampu menambahkan pengurangan jumlah penggunaan kenderaan persendirian sehingga 18-58% (Litman 2010).
Sementara menurut (Cervero&Duncan 2002), bas tidak boleh mencapai keputusan sama seperti LRT ini disebabkan kekurangan infrastruktur tetap, operasi tepat pada masanya dan permintaan sebagai pilihan pengangkutan yang berdaya maju.

Rujukan

Cervero, R. & Duncan, M.   2002.   Transit's Value-Added Effects: Light and Commuter Rail Services and Commercial Land Values.  Transportation Research Record: Journal of the Transportation Research Board  1805(1): 8-15.
Cervero, R. & Sullivan, C.   2011.   Green Tods: Marrying Transit-Oriented Development and Green Urbanism.  International Journal of Sustainable Development & World Ecology  18(3): 210-218.
Handy, S.   2005.   Smart Growth and the Transportation-Land Use Connection: What Does the Research Tell Us?  International Regional Science Review  28(2): 146-167.
Litman, T.   2010.   Evaluating Transportation Land Use Impacts: Considering the Impacts, Benefits and Costs of Different Land Use Development Patterns.  Victoria, Victoria Transport Policy Institute 
Topalovic, P., Carter, J., Topalovic, M. & Krantzberg, G.   2012.   Light Rail Transit in Hamilton: Health, Environmental and Economic Impact Analysis.  Social indicators research  108(2): 329-350.

No comments:

Post a Comment

SPEDA Power By

SPEDA Power By